SEJARAH SEKOLAH KEBANGSAAN GALING

     Sekolah KEBANGSAAN Galing, Jalan Beserah, 25250 Kuantan mula dibuka dengan rasminya pada tahun 1904. Sekolah ini telah diberi nama Sekolah Kebangsaan Galing kerana kedudukannya dalam kawasan Galing dan berhampiran dengan Sungai Galing.
        Sekolah ini merupakan salah sebuah sekolah gred A yang terletak kira-kira 3 km dari Bandar Kuantan. Ia dikategorikan dalam kelompok sekolah bandar dan menggunakan kod sekolah iaitu CBA4002. Mempunyai dua blok bangunan utama, sebuah makmal komputer, bangunan Pra-Sekolah, kantin sekolah, sebuah surau dan dewan terbuka.
        Sekolah  Cikgu Fid bertugas tahun 2018. Alhamdulillah hampir dengan rumah walaupun anak-anak masih di SK Tunku Azizah dan Panglima Perang, Cikgu Fid  tidak menukarkan sekolah mereka sebab Aiman akan menduduki UPKK 2018, di tambah dengan UPSR 2019 serta Aidit pula PT3 2019 nanti. Cikgu Fid ingin kongsikan sejarah yang menarik kerana SK Galing ini merupakan sekolah yang berusia lebih 100 tahun.
       Menurut sejarah, sekolah ini merupakan Sekolah Melayu yang kedua didirikan di Wilayah Pahang Timur iaitu di bandar Kuantan. Tarikh pembinaannya yang sebenar tidak diketahui tetapi dijangkakan penghujung tahun 1890an. Tarikh yang diketahui berkenaan sekolah ini ialah pada tahun 1904 apabila ia dipindahkan dari tapak asalnya di sudut Pasar Lama yang berhampiran dengan Jalan Lebat Ali ke tapak baru di Padang Lalang dan dikenali sebagai Sekolah Melayu Padang Lalang. Dalam tahun 1938, murid-murid lelaki sekolah ini telah dipindahkan ke Sekolah Melayu Laki-laki Teruntum, Jalan Gambut, Kuantan. Murid-murid perempuan dikekalkan di sekolah lama yang diberi nama baru iaitu Sekolah Melayu Perempuan Padang Lalang.
         Pada tahun 1948, Sekolah Melayu Perempuan Padang Lalang telah mendapat bangunan lain iaitu sebuah Istana lama yang dianugerahkan oleh DYMM Sultan Pahang. Bangunan Istana itu terletak di Galing. Oleh itu, dari Sekolah Melayu Perempuan Padang Lalang ditukarkan kepada nama Sekolah Perempuan Galing. Guru Besar ketika itu ialah Puan Azizah Binti Husin. Dalam tahun 1949, jumlah pelajarnya seramai lebih kurang 200 orang semuanya dengan tenaga pengajar seramai 7 orang. Mata Pelajarannya termasuklah Bahasa Melayu, Ilmu Buku, Tawarikh, Ilmu Hisab, Lukisan dan Urusan Rumah Tangga.          Pada 14 Mac 1950, DYMM Sultan Pahang telah berangkat melawat sekolah ini dan mengesyorkan bahawa sekolah ini dibekalkan dengan api elektrik. Pada tahun-tahun yang berikutnya be jangan murid-murid mula meningkat dan pihak sekolah meminta supaya bangunan sekolah dibesarkan. Pada 19 April 1955, Puan Sharifah Zainab Binti Syed Abdullah mula bertugas sebagai Guru Besar yang baru. Bilangan murid pada masa itu adalah lebih kurang seramai 324 orang. Beliau menjawat jawatan Guru Besar sehingga 30 April 1969.
        Selepas negara kita merdeka, kesedaran untuk belajar semakin meningkat. Sekolah ini mula mengadakan dua sesi iaitu sesi pagi dan petang dengan jumlah guru seramai 17 orang. Seramai 13 orang mengajar sesi pagi dan 5 orang sesi petang. Sukatan pelajarannya diperluaskan termasuklah pelajaran Bahasa Inggeris yang diajar oleh guru yang bertauliah. Dalam tahun 1960, sekolah ini sekali lagi bertukar nama dari Sekolah Umum Galing kepada Sekolah Kebangsaan Galing sehingga hari ini.
           Pada tahun 1975, bangunan tambahan baru Sekolah Kebangsaan Galing telah siap dibina setinggi 3 tingkat yang terdiri daripada 12 bilik darjah, sebuah pejabat, bilik guru, bilik Guru Besar dan dua tandas. Menjelang tahun 1980, sekolah ini telah dinaikkan gred ke sekolah gred A dengan jumlah murid lebih kurang 1000 orang dan tenaga pengajar seramai 37 orang. Seterusnya pada tahun 1985, sebuah lagi bangunan baru siap dibina yang mengandungi 11 buah bilik darjah, sebuah Permuafakatan dan 2 buah tandas. Ketika ini, SK Galing juga pernah menjadi pusat ujian bagi lesen belajar memandu (lesen L) oleh JPJ Pahang (iaitu di bangunkan lama ,kayu) pada setiap hari Sabtu berlangsung selama 2 tahun.
          Pada tahun 1987, beberapa buah bangunan tambahan telah dibina seperti bangunan surau, bangsal tempat letak basikal murid, tempat letak kenderaan guru, stor sukan, bangsal kegiatan Ko-kurikulum dan kolam ikan bagi mengindahkan kawasan sekolah. Bilangan murid kian bertambah dari tahun ke setahun sehingga pernah mencapai tahap 1600 orang murid dengan tenaga pengajarnya seramai 60 orang. Malah SK Galing juga telah dijadikan Pusat Sumber Pendidikan Daerah Kuantan dengan menggunakan dua buah bilik darjah bagi tujuan tersebut, dengan dibantu oleh seorang Penyelaras PSS iaitu Encik Chee Ah Kow. Kemudian pada akhir tahun 2007, sebuah bangunan Pra-Sekolah telah siap dibina dan mula beroperasi sepenuhnya pada awal tahun 2008, iaitu satu kelas dan bilangan muridnya seramai 25 orang dengan seorang tenaga pengajar dan seorang pembantu Pra.
       

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

MENGKELASKAN HAIWAN MENGIKUT HABITAT

TMK TAHUN 4 : PENGGUNAAN INTERNET